PENGENALAN CETAKAN

Pengenalan Cetakan
Di Malaysia cetakan dihasilkan dengan menggunakan pelbagai teknik dan media. Antara media yang biasa digunakan ialah lino, syelek, lekar dan media campuran. Manakala teknik yang biasa digunakan adalah seperti teknik timbulan, kolagraf dan cetakan saring. Cetakan juga boleh didefinisikan sebagai proses menekan huruf atau gambar di atas kertas, kain atau bahan-bahan lain. Perkara yang paling jelas yang dapat dilihat pada sesuatu cetakan ialah kesan yang dipindahkan adalah seperti bayangan asli pada cermin.

Tidak dinafikan bahawa seni cetak merupakan salah satu media seni lukis yang popular di kalangan pelukis serata dunia. Kebanyakan pelukis memilih untuk mengukir atau mengguris kepingan logam ataupun menuris blok kayu mereka sendiri kerana ingin mengalami rasa intim serta kegembiraan yang tercetus menerusi proses fizikal seni cetakan itu. Pengalaman serta kemahiran yang tinggi diperlukan bagi memastikan impresi yang optimum diperolehi menerusi plat cetakan. Keupayaan ini akan membolehkan para pelukis menggunakan sepenuhnya potensi sesuatu media dalam mencipta karya-karya seni cetak yang bermutu, tidak tercacat akan kelemahan teknik.

Seni cetak merupakan suatu lanjutan kecekapan pelukis dalam menampilkan disiplin-disiplin yang berbeza. Seperti catan ataupun bentuk-bentuk kesenian lain, seni cetak asli menyalurkan ekspresi individu pelukis, emosi serta kematangan estetik. Di samping itu, seni cetak merangkumi pelbagai sudut persepsi di dalam proses penghasilannya. Seperti catan, seni cetak juga memberi ruang yang terkawal serta kelonggaran dalam proses penciptaannya. Sesuatu karya seni itu dianggap asli jika ia bukan reproduksi ofset daripada karya-karya catan cat minyak, cat air mahupun akrilik.

Cetakan disini membawa maksud kesan daripada gubahan yang dihasilkan oleh pelukis pada permukaan blok atau plat. Biasanya permukaan blok diukir sehingga imej terjadi pada blok sebelum dipindahkan ke atas kertas, kain atau bahan lain untuk menghasilkan cetakan. Blok yang sama dapat menghasilkan beberapa keping karya yang sama. Cetakan yang berulang kali ini disebut edisi atau siri. Cetakan juga merupakan proses menghasilkan karya atau imej yang sama berulang kali. Dalam aktiviti ini, semua karya cetakan dalam sesuatu edisi dianggap karya asli.

0 comments:

Post a Comment